Guru merupakan satu profesion yang memerlukan komitmen, kesabaran dan kecekalan yang tinggi dalam mendidik dan membentuk murid-murid supaya menjadi insan yang berguna dan berpengetahuan secara menyeluruh meliputi seluruh aspek kehidupan. Peranan guru sebagai golongan pendidik sekali gus menjadikan guru sebagai pendukung obor budaya ilmu yang melayakkan kaum guru sebagai pendukung wawasan pendidikan dan wawasan pembangunan masyarakat yang berilmu.
Justeru itu, bagi mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21, individu yang bergelar guru perlu lebih bersedia untuk melakukan sebarang perubahan atau trasformasi dalam pendidikan. Abad ke-21 akan membawa negara ke ambang baru perubahan masyarakat informasi selaras dengan perkembangan pesat teknologi maklumat. Teknologi maklumat akan memainkan peranan penting mentransformasikan budaya belajar dan budaya mengajar di bilik darjah dan juga dalam aspek pengurusan pendidikan di semua peringkat persekolahan dan pendidikan.Berbagai-bagai perkembangan terbaru dalam aspek teknologi maklumat seperti penggunaan computer, internet, e-mail, website, animasi, VCD/DVD, berbagai software pendidikan multimedia dan CD ROM akan mewarnakan budaya dan suasana belajar di sekolah.
Oleh itu, guru perlu lah bersiap sedia melakukan transformasi dalam dunia pendidikan untuk mendidik anak bangsa. Guru perlu mempunyai pengetahuan yang kemas kini dalam bidang pendidikan, khususnya dalam aspek-aspek kaedah mengajar, perancangan penggunaan sumber dan aktiviti murid, penggunaan teknologi maklumat dan sebagainya.Peranan guru sebagai pencelik budaya literasi ilmu memerlukan guru mempunyai pengetahuan luas dan terkehadapan. Perkembangan dan kemajuan teknologi yang berlaku memerlukan guru-guru untuk mentransformasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah menjadi lebih menarik dengan mengaplikasikan segala teknologi yang muncul dalam dunia pendidikan. Guru perlu menjadi pakar dalam bidang teknologi dan harus berubah dari cara pengajaran tradisional kepada kaedah pengajaran yang berorientasikan teknologi dan multimedia. Bahan-bahan pengajaran perlu diubahsuai agar dapat menarik minat pelajar.
Kesimpulannya, setiap insan yang bergelar guru haruslah sentiasa bersedia untuk melakukan sebarang transformasi dalam pengajarannya kerana kemajuan dunia teknologi hari ini menjadikan dunia seolah-olah tanpa sempadan. Jaringan maklumat yang begitu luas menyebabkan pengaruh-pengaruh luar dan unsur-unsur negatif cepat menyusuri dan menusuk masuk ke dalam budaya masyarakat khususnya anak-anak remaja. Demikian itu, para guru haruslah sentiasa mengambil berat dan menyelusuri perkembangan semasa agar sentiasa terkedepan dalam memberi maklumat kepada pelajar tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara yang terdapat dalam dunia hari ini.
0 comments:
Post a Comment